Institut Pengajian Tinggi Islam Perlis (IPTIPs) ialah sebuah institusi pengajian milik penuh Kerajaan Negeri Perlis dan Yayasan Islam Perlis (YIPs). Intitusi ini mula beroperasi setelah mendapat kelulusan perakuan pendaftaran pada 20 April 1998 dan No. Pendaftaran 23/98. Beberapa jawatankuasa dibentuk bagi memastikan IPTIPs beroperasi dalam keadaan yang mantap, teguh dan dipercayai. Jawatankuasa tersebut ialah Jawatankuasa Merangka Kurikulum, Jawatankuasa Pakar Menyemak Kurikulum dan Jawatankuasa Pengelola. Keahlian jawatankuasa ini terdiri daripada pakar-pakar dalam pelbagai bidang di peringkat negeri, kebangsaan dan luar negara.
SEJARAH PENUBUHAN
Sejarah penubuhan Institut Pengajian Tinggi Islam Perlis ( IPTIPs ) bermula dengan ura-ura penubuhan Institut Al-Quran dan As-Sunnah (IQS). Pada tahun 1992 sebuah Jawatankuasa Kecil merangka Kurikulum IQS ditubuhkan terdiri daripada pakar dalam bidang Al-Quran dan As-Sunnah. Rancangan penubuhan IQS di bawah Majil Agama Islam Perlis ( MAIPs ) telah ditukarkan kepada IPTIPs dan diambil alih oleh Yayasan Islam Perlis ( YIPs). Pada Tahun 1997, Jawatankuasa Penubuhan IPTIPs meluluskan Kurikulum di bawah seorang konsultan Dr. Haji Hasni Mohamad dan pada tahun yang sama Kurikulum tersebut telah dikemaskinikan serta dinaikkan taraf.
Pada bulan Febuari 1998 Jawatankuasa Pakar telah ditubuhkan untuk semakkan Kurikulum dan telah dibahaskan pada 6 hingga 9 Mac 1998 dan pada 20 April 1998 IPTIPs telah mendapat kelulusan untuk memulakan operasi.
Pada peringkat pertama kampus sementara IPTIPs telah beroperasi di alamat No. 75 TBA 2, Taman Bersatu, 02600 Arau, Perlis. Pada Disember 1999, IPTIPs telah berpindah ke kampus yang baru di alamat Batu 5, Jalan Kuala Perlis, 02000 Kuala Perlis, Perlis.
OBJEKTIF
Sebagai Mematuhi tanggungjawab dan matlamat Pendidikan Islam Negeri Perlis, Institut Pengajian Tinggi Islam Perlis ditubuhkan dengan objektif berikut:
- Membentuk insan khamil dan syamil secara bersepadu dan menyeluruh bagi melahirkan para ilmuan dan pendakwah yang berpengetahuan tinggidan luas dalam bidang profesional yang berteraskan Islam bagi membimbing masyarakat ke arah kejayaan dunia dan akhirat.
- Melahirkan para ilmuan yang sanggup memikul tanggungjawab yang berasaskan tuntutan akidah, syariah, kemasyarakatan, profesional yang bertanggungjawab mengisi keperluan fardhu kifayah.
- Melahirkan pendakwah profesional muslim yang mendalami Al-Quran dan Sunnah.
- Melahirkan guru-guru yang berkemampuan untuk menjadikan pendidik yang mempunyai visi dan memahami konsep pembangunan ummah mengikut ajaran Islam yang sebenar.
- Menjalankan berbagai-bagai penyelidikan dan penyebaran ilmu pengetahuan dalam bidang ilmu Islam dan ilmu-ilmu yang membawa kemajuan ummah islamiah.
- Mempolopori berbagai-bagai kaedah bagi meningkat dan menyebarkan kefahaman terhadap Islam melalui Al-Quran dan Hadis dan melalui ilmu-ilmu yang membuktikan kebesaran Allah.
RASIONAL LOGO

1. BULATAN
- Menunjukkan globalisasi Islam
- Warna hijau menunjukkan keislaman
2. WARNA MERAH DALAM BULATAN
- Menunjukkan semangat kejiranan (Dalam perancangan Segitiga Utara Malaysia, selatan Thailand dan Sumatera Utara)
3. KUBAH
- Melambangkan Institut Pengajian Tinggi Islam Perlis berteduh di bawah lindungan Allah dan memegang Ahli sunnah wal Jamaah.
4. WARNA KUNING DALAM KUBAH
- Menunjukkan kedaulatan Di Raja Negeri Perlis yang berteraskan Islam.
5. AL-QURAN DAN REHAL DI ATAS LAMBANG NEGERI PERLIS
- Menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri Perlis menghayati dan menjunjung tinggi ilmu Al-quran dan sunnah dengan menubuhkan IPTIPs
6. WARNA KUNING DAN BIRU
- Menunjukkan warna bendera Negeri Perlis ( Dimana IPTIPs ditubuhkan )
VISI DAN MISI
- VISI IPTIPS
Menjadi sebuah Pusat Tinggi Islam terkemuka di Asia Tenggara bertaraf antarabangsa yang menawarkan pelbagai kursus berkualiti dan berasaskan Islam dengan ilmu-ilmu terkini.
- MISI IPTIPS
Menyediakan manhaj pendidikan Islam yang dapat menghasilkan insan yang mempunyai keimanan dan ketakwaan yang tinggi serta ilmu Islam yang mendalam bagi memenuhi tuntutan agama dan kehendak bangsa dan negara.
FALSAFAH PENDIDIKAN
Usaha berterusan ke arah membentuk Insan Rabbani yang Khamil dan Syamil berdasarkan kepada keimanan dan ketakwaan kepada Allah, memahami dan mendalami serta menghayati ilmu-ilmu Islam dari sumber asalnya Al-Quran dan Hadis. Mentarbiah pelajar dengan ajaran Ahlus Sunnah Wal Jama'ah untuk melahirkan insan soleh yang bertanggungjawab kepada Islam dan negara serta mampu memikul tanggungjawab sebagai khalifah Allah.