KATA ALU-ALUAN
MENTERI BESAR PERLIS
Y.A.B DAT0' SERI DR. MD ISA BIN SABU
Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Segala puji-pujian bagi Allah S.W.T selawat dan salam untuk junjungan kita Nabi Muhammad S.A.W dan keluarga serta para sahabat baginda.
Syabas dan tahniah kepada semua warga Institut Pengajian Tinggi Islam Perlis (IPTIPs) kerana menjayakan majlis ini dan Pelancaran Laman Web IPTIPs. Di sini saya ingin merakamkan ucapan tahniah kepada Unit Multimedia kerana telah berjaya membina laman web rasmi IPTIPs.
Selaras dengan perkembangan Teknologi Maklumat dan ICT, kewujudan laman web rasmi IPTIPs Guar Jentik, Beseri ini bertepatan pada masanya. Dengan ini diharapkan dapat memberi pendedahan tentang pentingnya menguasai bidang teknologi maklumat dan ICT dalam era globalisasi.
Islam merupakan sebagai satu cara hidup yang syumul. Justeru, memang wajar IPTIPs sebagai sebuah pusat pengajian tinggi Islam berperanan membina modal insan yang berilmu, bertamadun dan berdaya saing. Kita amat bertuah kerana institut ini merupakan satu-satunya pusat pengajian tinggi di Perlis yang berperanan menyediakan bidang Pengajian Islam dalam usaha mengembang dan menyebarkan ilmu agama serta penguasaan Bahasa Arab.
Saya berharap IPTIPs bukan sahaja terkenal di peringkat nasional, bahkan akan terus berkembang maju menjadi pusat pengajian tinggi Islam yang terulung di arena antara bangsa sejajar dengan apa yang tersirat di dalam visinya. Saya menyedari hakikat ini dan bersedia untuk terus memberi komitmen demi membangunkan generasi yang mampu berperanan menghulurkan bakti kepada agama, bangsa dan negara.
Akhir kata saya sekali lagi merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada warga IPTIPs khususnya Jawatankuasa Pelaksanaan Majlis yang telah berusaha bersungguh-sungguh untuk menyempurnakan majlis ini.
Ilmu merintis kecemerlangan minda.