KATA ALU-ALUAN
PROF. MADYA DATO’ ALIM SETIA AHMAD BIN JUSOH
TIMBALAN REKTOR
INSTITUT PENGAJIAN TINGGI ISLAM PERLIS

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Institut Pengajian Tinggi Islam Perlis (IPTIPs) adalah cetusan idea DYMM Tuanku Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalulail.
Setelah melalui pelbagai cabaran dan rintangan, maka pada hari ini genaplah usia IPTIPs 10 tahun. Saya berasa sangat gembira, walaupun institusi ini bermula sebagai sebuah institusi yang serba kekurangan, namun di sebalik segala rintangan tersebut IPTIPs tetap berjaya melahirkan para graduan lepasan diploma yang mampu menyambung pelajaran ke peringkat ijazah dan kini berjaya dalam pelbagai lapangan kerjaya.
Lantaran itu IPTIPs berperanan membentuk insan rabbani yang kamil dan syamil secara bersepadu serta menyeluruh bagi melahirkan para ilmuan dan pendakwah yang berwibawa selaras dengan firman Allah S.W.T :
ومن أحسن قولا ممن دعا الى الله وعمل صالحا وقال اننى من المسلمين
Terjemahan : Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang soleh dan berkata : “Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri” Surah Fushshilat ayat : 33Selain sebagai pusat pendidikan agama, institut ini juga menjadi pusat kebudayaan dan kesusasteraan Bahasa Arab. Justeru bertepatan dengan visi dan misi untuk menjadikan pusat pengajian Islam yang terkenal di rantau ini.
Akhir kata saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat menjayakan Majlis Warga IPTIPs Bersama Y.A.B Menteri Besar dan Pelancaran Laman Web IPTIPs .
Selamat maju jaya.